RMK-12: Ekonomi digital fokus utama capai ekonomi berpendapatan tinggi pada 2024

KUALA LUMPUR: Ekonomi digital, infrastruktur digital dan produktiviti merupakan antara faktor penting yang perlu dijadikan fokus utama kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik COVID-19, sekali gus mendokong ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2024.

Dalam Laporan Bank Dunia: “Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development,” pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada US$11,200, hanya kurang US$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Menurut Bank Dunia, kemajuan ke paras tahap ambang menjadi perlahan susulan kesan daripada COVID-19, namun Malaysia berpeluang melaksanakan reformasi jelas untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan.

Mengulas mengenainya, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kerajaan komited untuk terus menilai kualiti, keterangkuman dan kesinambungan pertumbuhan Malaysia pada masa depan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Keupayaan perniagaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya, memacu perniagaan dalam jangka panjang.

“Selain itu, penggunaan automasi yang disokong latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada akan mengoptimumkan produktiviti dan menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin kepada Bernama.

Beliau berkata perniagaan juga perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi dan mempertimbang untuk mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam usaha meningkatkan daya tahan, di samping mengoptimumkan proses perniagaan.

Menurutnya, dalam hal ini, infrastruktur teknikal yang mapan, disokong proses digitalisasi pintar merupakan komponen kritikal dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Menerusi penggunaan teknologi, Mohd Uzir berkata ia akan menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang.

“Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu, mengekalkan perniagaan serta pekerjaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Industri berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan berbanding industri berintensifkan buruh.

“Bagi industri berintensifkan modal, melalui penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya menghadapi krisis dan dapat mengekalkan produktiviti dalam kalangan pekerja,” menurut Mohd Uzir.

Beliau berkata, dalam hal ini, industri perlu memanfaatkan krisis ini dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.

Ia merupakan titik perubahan yang sesuai kepada industri untuk mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 dalam meningkatkan rantaian nilai untuk mencapai nilai ditambah yang lebih tinggi.

Melalui penggunaan teknologi, pekerja berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi dengan lebih cekap.

“Seterusnya, dalam jangka panjang, negara akan dapat menangani isu ketidakpadanan pekerja dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.

“Krisis ini juga sewajarnya dijadikan titik perubahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah,” kata Mohd Uzir.

Tumpuan pada masa ini perlu diberikan kepada usaha untuk mengembalikan pekerjaan, manakala usaha peralihan teknologi boleh dipergiatkan melalui pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan dan boleh dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, terdapat cabaran bagi mendepani era digital, antaranya kos pelaburan digital termasuk sumber kewangan, kesedaran keselamatan dan infrastruktur digital.

Menurut Asia IoT Business Platform, kira-kira satu pertiga syarikat Malaysia menggunakan strategi transformasi digital, dan kurang satu perempat daripada kalangan perusahaan mempunyai pasukan strategi digital khusus.

Selain itu, pada 2019, hanya 53.9 peratus syarikat di Malaysia mempunyai laman web.

Menurut kajian Khazanah Research Institute pada tahun ini, kos digitalisasi seperti akses Internet, perkakasan digital, yuran langganan perisian dan peningkatan pekerja adalah penghalang untuk digitalisasi yang meluas dalam kalangan syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) .

Hampir separuh daripada PKS tempatan menyatakan bahawa kemahiran pekerja sebagai penghalang penting untuk digitalisasi.

Mengenai infrastruktur digital, Mohd Uzir berkata Malaysia sedang menuju ke arah teknologi 5G.

Bagaimanapun, di negeri dan daerah, bahkan di bandar-bandar di Malaysia masih mengalami kualiti rangkaian dan kemudahan digital yang terhad.

“Sebilangan besar perniagaan di bandar mendapat akses yang baik, namun di kawasan luar bandar masih bergelut untuk mempunyai sambungan Internet yang stabil,” kata beliau.

Senada dengan Mohd Uzir, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Dr Mohammad Tawk Yaakub menyuarakan kebimbangan beliau mengenai kualiti capaian Internet pada masa ini.

“Kerajaan perlu melaksanakan peningkatan akses jalur lebar yang lebih berdaya tinggi kerana ini adalah formula penting kepada perubahan daripada ekonomi tradisi kepada digital yang pantas,” katanya.

Mohammad Tawk menambah, RMK-12 memerlukan satu dasar dan perancangan yang jelas untuk mencorakkan model perniagaan baharu secara digital yang mana ia kini telah diguna pakai secara meluas di Malaysia dan konsep ini perlu lebih diperluaskan.

“Kebanyakan sektor industri kecil dan sederhana dan PKS telah berjaya menyesuaikan perniagaan mereka dengan persekitaran pasaran baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lepas sehingga hari ini.

“Malaysia tidak lagi boleh kembali kepada praktik ekonomi tradisional dan sekiranya ketiga-tiga faktor utama iaitu kerajaan, peniaga dan pasaran (rakyat) berani berubah sepenuhnya, maka program pemulihan ekonomi akan berjaya sepenuhnya dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia,” katanya.

Mohammad Tawk menegaskan, usaha kerajaan dalam menyegerakan transformasi ekonomi tradisional kepada digital, dilihat lebih penting dan relevan tatkala dunia dilanda krisis kesihatan yang memberi kesan mendalam terutamanya dalam sektor ekonomi.

Sehingga 2019, sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada ekonomi terus meningkat kepada RM289.2 bilion dengan pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus (2018: 7.7 peratus).

ICT menyumbang 19.1 peratus kepada KDNK, merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri ICT (12.9 peratus) dan e-dagang bagi industri lain (6.2 peratus).

Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan ketidakseimbangan ekonomi dan masalah sosial.

Namun, dasar yang dirancang dan dilaksanakan tidak dapat menangani sepenuhnya cabaran sosioekonomi ketika itu.

Sehubungan itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 telah dirangka dengan matlamat mencapai perpaduan negara melalui strategi serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Beberapa rangka rancangan jangka panjang juga telah diperkenalkan selepas DEB termasuk Dasar Pembangunan Nasional, Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sehingga 2020, sebanyak 11 Rancangan Malaysia Lima Tahun telah dirangka bagi menyokong rangka rancangan jangka panjang negara.
Sepanjang tempoh ini, Malaysia telah melalui pelbagai perubahan dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar, seiring dengan trend peralihan global. — BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak