RTBA: Sarawak berada di landasan yang tepat untuk buka semula aktiviti pelancongan

KUCHING: Sarawak kini berada dalam kedudukan yang baik untuk membuka pelancongan domestiknya dalam tahun ini, kata Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia).

Pengarah Urusan RTBA Malaysia Datuk Fazli Nordin berkata walaupun pandemik COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada ekonomi global dan serantau, pengawasan dan kewaspadaan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), berserta dengan pemahaman kolektif penduduk Sarawak, telah membolehkan negeri ini untuk menghadapi situasi yang buruk dengan lebih baik.

“Pembukaan semula sempadan Sarawak kepada individu yang disuntik vaksin sepenuhnya menunjukkan keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh negeri ini, dan seterusnya memantapkan komitmen negeri untuk menangani pandemik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata sektor pelancongan di Sarawak kekal berterusan dan berdaya tahan sepanjang pandemik ini, melaksanakan inisiatif bagi memastikan barisan depan dalam industri pelancongan divaksinasi dan bersedia menerima pelancong bagi membolehkan Sarawak menjadikan negerinya sebagai destinasi ‘gelembung perjalanan hijau’ yang selamat.”

Setakat 23 Sept, beliau berkata Sarawak telah memberi vaksin lengkap kepada 64.8 peratus daripada jumlah penduduknya yang merangkumi barisan hadapan sektor pelancongannya dan juga menjadi negeri pertama yang melancarkan vaksinasi untuk populasi remaja berusia antara 12 dan 17 tahun.

“Ini menjadikan Sarawak sangat ke hadapan dalam status vaksinasi. Selain itu, penggunaan EnterSarawak, aplikasi perjalanan dalam talian untuk memasuki Sarawak, sijil vaksinasi melalui MySejahtera, serta pengisian Borang Pengisytiharan e-Kesihatan (eHDF) akan meningkatkan keyakinan pelancong apabila sektor pelancongan dibuka semula.

“RTBA percaya bahawa negeri ini bersedia untuk menjadi destinasi utama ekopelancongan di rantau ASEAN, didorong oleh masyarakat berwibawa yang memelihara warisan, kebudayaan dan biodiversiti. Kita harus memanfaatkan peluang ini kerana inisiatif yang dilaksanakan hari ini akan membentuk pelancongan pada masa depan,” tambahnya.

RTBA adalah organisasi bukan kerajaan untuk menyokong dasar pengawalseliaan, kewangan dan percukaian yang berkesan yang mempengaruhi peruncit dan jenama, beribu pejabat di Victoria, Australia dengan RTBA Malaysia menjadi salah satu subbahagiannya.

— BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak