RUU Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak harus menjadi isu terutamanya memiliki masyarakat pelbgai kaum

ASAJAYA: Rang Undang-Undang Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam seharusnya tidak diisukan kerana perkara itu mampu menggugat kesejahteraan rakyat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah percaya Kerajaan Sarawak tidak akan menyokong penggubalan RUU itu yang boleh menjadi isu sensitif dalam masyarakat majmuk.

Beliau mengakui terkilan selepas mengetahui mengapa perkara sedemikian turut dicadangkan, sementara dari segi Perlembagaan Malaysia menggariskan untuk membenarkan rakyat menganuti dan mengembangkan agama masing-masing.

“Saya percaya perkara ini di Sarawak dan Sabah adalah satu perkara yang tidak dapat diterima.

“Hal ini boleh menimbulkan perasaan curiga dan ketidakpuasan hati lebih-lebih lagi dalam sebuah negeri majmuk seperti Sarawak yang mempunyai rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Walaupun saya tidak dapat memberi penjelasan bagi pihak Kerajaan Sarawak, namun saya percaya kita tidak akan bersetuju sekiranya ada RUU berkaitan agama boleh dipromosikan dan tidak boleh dipromosikan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan ‘flag off’ kembara merdeka Asajaya hari ini.

Justeru dengan timbulnya RUU seperti itu katanya akan menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat.

Suara Sarawak