Samarahan, Asajaya nikmati pembangunan selepas merdeka

ASAJAYA: Banyak kemajuan dan pembangunan infrastruktur telah dilaksanakan di kawasan Samarahan dan Asajaya sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara kemajuan yang dinikmati penduduk tempatan sekarang adalah pembinaan jaringan ban yang bermula dari Tambirat sehingga ke Sadong Jaya.

“Sebagai contoh, Samarahan dan Asajaya antara kawasan mundur dari segi pembangunan sebelum merdeka.

“Namun selepas kemerdekaan, perancangan pembangunan jalan raya dan infrastruktur telah giat dijalankan di kawasan tersebut,” katanya.

Adun Asajaya itu berkata demikian pada pelancaran Kembara Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia dianjurkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Pejabat Daerah Asajaya dan Jabatan Penerangan Sarawak, di sini, hari ini.

“Kita perlu bersyukur kerana Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan dan ini menunjukkan bahawa kita mampu mentadbir negara sendiri tanpa bantuan kuasa asing,” tambahnya.

Mengenai sambutan tersebut, Karim berkata ia akan dilaksanakan di Kuching pada 16 September nanti bertempat Dun Sarawak.

“Kita terpaksa mengecilkan bilangan peserta pada sambutan kali ini kerana kadar jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini,” ujarnya.

Suara Sarawak