Sambutan Hari Malaysia di Sarawak secara hibrid

KUCHING: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2021 pada 16 September ini akan disambut secara hibrid susulan berlaku penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, majlis akan berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan bersiaran secara langsung menerusi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), TV Sarawak dan Radio RTM pada malam 16 September bermula jam 8.30 malam.

“Tetamu jemputan kita juga dihadkan kepada 100 orang sahaja dan tetamu kehormat adalah Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib yang akan tiba kira-kira jam 8.25 malam.

“Turut hadir adalah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan anggota kabinet negeri serta tetamu-tetamu lain,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2021 menerusi siaran langsung Facebook Ukas, hari ini.

Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi penganjuran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2021 berkata, tema pada tahun ini masih kekal “Malaysia Prihatin” memandangkan masih dalam perjuangan menentang Covid-19.

“Bagi rakyat yang berada di rumah masing-masing mereka boleh menyaksikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2021 yang bersiaran secara langsung dan sama-samalah menonton sambutan khas ini nanti di rumah atau di mana-mana sahaja anda berada,” ujarnya.

Suara Sarawak