Sanggup berbaris berdiri lama demi BKSS

KUCHING: Berbaris sehingga lebih dua jam dengan panjang barisan kadangkala lebih 100 meter, antara situasi dilalui penduduk yang menggunakan perkhidmatan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Betong setiap kali bantuan tunai kerajaan masuk.

Orang ramai sudah mula memenuhi BSN seawal jam 6 pagi, malah ada yang datang lebih awal semata-mata untuk mendapat giliran terawal. Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang berkata, keadaan itu bukan sahaja menyedihkan tetapi juga sangat menyusahkan masyarakat.

Menurutnya, BSN Betong hanya beroperasi dengan tiga kaunter pelanggan, sebuah mesin ATM dan sebuah mesin deposit tunai menyebabkan sistem penyampaian perkhidmatan sangat perlahan.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada pelanggan tetapi pekerja bank yang terpaksa berdepan pelanggan dengan pelbagai ragam disebabkan keletihan menunggu.

“Situasi itu berterusan sehingga pelbagai pihak dan penerima BKSS mempertikaikan keupayaan sistem perkhidmatan dan penyampaian agensi yang menguruskan bantuan itu. “Ini ditambah lagi waktu operasi bank terhad disebabkan pandemik Covid-19, maka belum tentu urusan boleh diselesaikan dalam sehari,” katanya semalam.

Wellie berkata, bagi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, bantuan tunai BKSS dan Bantuan Khas Covid-19 amat diperlukan bagi menampung keperluan harian khususnya mereka yang terjejas pendapatan.

Katanya, bagi penduduk di pedalaman, bantuan wang tunai RM500 hingga RM1,600 bermakna dan untuk mendapatkan tunai itu bukan mudah kerana melibatkan perjalanan sukar dan sekatan antara daerah.

Bahkan katanya terdapat juga keluarga di pedalaman yang tidak dapat menanggung kos pengangkutan kerana perjalanan yang sukar untuk berurusan ke bank atau cawangan mesin ATM terdekat.

“Ada yang pulang dengan hampa selepas berbaris panjang apabila mesin ATM tidak berfungsi kerana tergendala atau kehabisan wang tunai,” katanya. Justeru, Wellie berkata masalah ini boleh dielakkan sekiranya terdapat kemudahan bank dan pertambahan mesin ATM.

“Kita sangat berharap agar kerajaan negeri dan kerajaan pusat memandang berat masalah dialami masyarakat di Betong, seterusnya mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan bank di Pekan Spaoh dan Pekan Debak serta menambah perkhidmatan mesin ATM,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak