Sarawak buat persediaan untuk laksana dos ketiga vaksin Covid-19

KUCHING: Sarawak sudah membuat persediaan untuk melaksanakan program pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusinya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, pihaknya sudah mengemuka permohonan untuk Sarawak melaksanakan program itu pada perbincangan bersama-sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Sabtu lalu.

“Maklum balas yang diterima daripada Khairy adalah sangat positif untuk kita melaksanakannya terutama kepada golongan rentan bagi melindungi mereka daripada risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak memohon untuk melaksanakan program itu melihat kepada beberapa negara seperti England yang sudah menjalankannya dan ia memberikan hasil positif.

“Bagaimanapun jangka masa bila program ini dilaksanakan belum dapat dipastikan kerana kita sedang sibuk memberikan vaksinasi kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun, “ jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah memberitahu vaksin dos tunggal iaitu Cansino tiba di Sarawak pada 21 dan 22 September.

“Sebaik sahaja tiba, ia akan terus diagihkan kepada masyarakat di pedalaman dan yang memerlukan seperti di Miri.

“Jumlahnya tidak banyak susulan peratusan rakyat termasuk di pedalaman yang sudah menerima vaksin di negeri ini tinggi kerana kejayaan pasukan kita melaksanakannya,” tambahnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak