Sarawak masih kekurangan guru yang mengajar Bahasa Iban

KUCHING: Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru yang mengajar dalam Bahasa Iban dan ia harus diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan Bahasa itu sudah diiktiraf di peringkat tinggi dalam sukatan pelajaran di negara ini.

Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat berkata, Bahasa Iban diajar di sekolah Rendah sejak tahun 1957 dan sekolah menengah sejak tahun 1963 sebagai mata pelajaran tambahan untuk pelajar Darjah Satu hingga Tingkatan Lima.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia dibimbangi menjejaskan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Iban di kalangan generasi muda Sarawak.

“Kita juga sedia maklum bahawa secara am, wujudnya masalah kekurangan guru di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pengambilan khas seramai 18,702 pendidik DG41 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru yang sudah sekian lama membelenggu pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjunjung titah seri paduka baginda Yang Di-Petuan Agong sempena Mesyurat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di ibu negara hari ini.

Tambah Robert, KPM perlu mengkaji syarat pengambilan agar memberi keutamaan kepada graduan Sarawak di bawah pengambilan khas guru secara ‘one-off’ untuk ditempatkan di Sarawak.

“Kita menyambut baik titah baginda Tuanku yang menekankan bahawa bidang pendidikan tidak boleh diabaikan, terutamanya pendidikan sains dan teknologi.

“Dalam era digitalisasi, pembangunan modal insan harus dititikberatkan agar memperkukuhkan tenaga sumber manusia yang lebih inovatif dan kompetitif di arena global,” jelasnya.

Tegasnya, pembelajaran di sekolah-sekolah agar merangkumi bidang sains, Teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang perlu bermula dipupuk di bangku sekolah lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak