Sarawak rangka pelan pendidikan kesihatan, persediaan masuk fasa endemik

KUCHING: Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 yang akan merangka pelan pendidikan kesihatan sebagai persediaan untuk memasuki fasa endemik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa tersebut akan merancang pelbagai program kesedaran untuk orang ramai memahami situasi semasa serta diadaptasi dalam kehidupan seharian era pascavaksinasi.

“Tambahan pula sekarang kita berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negera (PPN), jadi saya harap program ini akan bermula secepat mungkin dan dapat sampai kepada akar umbi melalui pelbagai saluran termasuk pengedaran risalah.

“Ini penting untuk membolehkan masyarakat kembali sihat, menjalani kehidupan seperti dahulu serta negeri kembali berdaya saing dalam mengejar visi Sarawak maju menjelang 2030,“ katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian pada sidang media berkenaan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata jawatankuasa itu diketuai oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Malaysia, TVS, RTM, Bernama dan media-media yang lain.

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama baik dengan memainkan peranan masing-masing serta menyokong usaha kerajaan memerangi pandemik.

Tamat//

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak