Sarawak terima bantuan tangani lonjakan kes Covid-19

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan segera pertambahan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Sarawak untuk penyumberan luar bagi merawat pesakit bukan Covid-19 di hospital swasta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia untuk membiayai prosedur pembedahan dan sebagainya di hospital swasta bagi pesakit bukan Covid-19, yang kini banyak ditangguhkan di hospital kerajaan disebabkan pandemik itu.

“Sarawak sudah menggunakan RM4.6 juta yang telahpun kita peruntukkan dan ada permintaan lagi.

“Ini adalah untuk prosedur pembedahan dan sebagainya yang terpaksa ditangguhkan (di hospital kerajaan), jadi sekarang kita mahu menghantar mereka ke hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Penasihat JPBN Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed.

Selain itu, Khairy berkata Sarawak juga akan menerima sebanyak 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen pada 28 September ini, dengan dihantar oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada masa sama, beliau berkata akan menambah sebanyak 10 modular unit rawatan rapi (ICU), 20 katil ICU dan 30 ambulans dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Khairy berkata telah meminta Kerajaan Sarawak menubuhkan Hospital Medan di Sibu.

“Secara prinsip kami bersetuju dan akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan Hospital Medan di Sibu.

“Seramai 64 pegawai perubatan tambahan telahpun diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kementeriannya akan mempertimbangkan permintaan Kerajaan Sarawak untuk membuka segera Hospital Sri Aman, bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Suara Sarawak