Sarawak tunggu keputusan MKN bagi mengisytiharkan Covid-19 daripada pandemik ke endemik

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan keputusan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan Covid-19 daripada pendemik kepada endemik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, terpulang kepada MKN sama ada mahu mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik atau kekal sebagai pandemik apabila Sarawak bertindak untuk mengikutinya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu yang kes baharu Covid19 hari ini masih dalam 3,000 apabila merangkumi kes tunggakan sebelum ini.

“Kebanyakkan ialah kategori satu dan dua serta perinciannya boleh didapati dalam website CovidNow,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pemberian vaksin kepada remaja 16 dan 17 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majma Mall di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut memutuskan agar kemasukan ke Sarawak tidak lagi dikuarantin wajib terhadapa individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 berkuat kuasa hari ini.

“Dengan kelonggaran ini, siapa yang ingin berjumpa dengan isteri dan ibu bapa boleh berbuat demikian dengan syarat lengkap vaksin,” ujarnya.

Suara Sarawak