Sejarah perniagaan sagu  dari kawasan Melanau sejak lebih 100 tahun lalu

Satu titik tolak penting dalam perniagaan sagu ialah apabila Singapura  mulai mengimport sagu pada awal kurun ke-19.  Ketika berkunjung ke Perpustakaan Nasional Singapura 15 tahun lalu, saya telah meneliti bahan pameran di situ dan agak terkejut apabila melihat dalam bahan berkenaan dipaparkan jalan Sago. Hakikatnya, banyak kilang sagu didirikan oleh pemodal Cina di Singapura sehingga wujud satu kawasan yang terkenal dengan kilang sagu. 

Sebagai bukti bersemaraknya perniagaan dan import-eksport sagu terdapat jalan dan lorong yang dikenali sebagai Jalan Sago dan Lorong Sago di Singapura.  Mengikut Wikipedia (2012), jalan dan lorong itu mendapat nama daripada kegiatan memproses  sagu di kawasan berkenaan mulai 1840 di Singapura. Pada tahun 1850-an, terdapat sebanyak 30 buah kilang sagu dengan pengeluaran 8,000 tan setahun di kawasan terbabit. Singapura mendapat bekalannya dari Sarawak, terutama dari Mukah dan sagu yang telah diproses dieksport pula ke Eropah dan India (Wikipedia, 2012).

Pada tahun 1856 sebuah syarikat Cina telah menubuhkan kilang sagu di Kuching untuk memproses lemantak menjadi tepung sagu. Dengan adanya kilang itu, maka lemantak tidak lagi perlu dihantar ke Singapura. Sebaliknya, menurut Ooi Keat Gin (1997), lemantak dari kawasan pengeluaran sagu hanya perlu dihantar ke Kuching untuk diproses sebelum dihantar ke luar negeri.

Beberapa tahun kemudian, peniaga sagu di Kuching telah pergi ke kawasan pengeluar sagu untuk mendapatkan bahan tersebut terus daripada kaum Melanau. Dalam tempoh kurang daripada dua dekad, peniaga Cina telah menguasai perusahaan sagu menyingkirkan peniaga Melayu yang dikatakan bersikap tidak adil dalam urus niaga dengan pengusaha sagu Melanau dengan menawarkan harga yang lebih rendah.

Pembukaan Singapura telah merevolusikan industri sagu dan perniagaannya. Sejak 1820-an permintaan negara Eropah dan Amerika terhadap kanji sagu untuk industri tekstil mereka telah meningkatkan harga sagu dan menjadikannya perusahaan yang menguntungkan. Lemantak dihantar melalui kapal ke Singapura untuk diproses di kilang untuk pasaran dunia, sama ada sebagai tepung sagu atau bebola sagu. Menurut Ooi Keat Gin (1997), perniagaan itu menguntungkan pihak pengeluar dan penanam rumbia, terutama dari kawasan Mukah, Igan, dan Oya.

Kejayaan pedagang Melayu memecahkan monopoli Brunei telah berjaya mewujudkan peluang kepada mereka yang bukan daripada kalangan istana Brunei untuk menyertai perusahaan dan perniagaan sagu. Oleh sebab itu menjelang tahun 1847 peniaga dari Sarikei, Mukah, dan Oya telah juga membawa sagu ke Singapura.

 Pengaruh pedagang Melayu terhadap perniagaan sagu mempunyai kesan tertentu. Sebagai akibat daripada terhakisnya monopoli Brunei terhadap perniagaan sagu dan semakin meningkatnya minat pedagang Melayu terhadap perniagaan sagu, pihak Rajah memperluas kuasa dan pengaruhnya ke kawasan Melanau.

Malah, ekonomi Sarawak pada awal tahun 1850-an berkait rapat dengan perusahaan sagu. Pembabitan aktif Sarawak dalam perniagaan sagu telah mencetuskan persaingan dan ketegangan dalam elit politik Brunei kerana  pendapatan mereka berkurangan. Peniaga Melayu dari Brunei bertindak sebagai wakil Sultan dan mereka menetap di muara sungai utama di kawasan Melanau dalam usaha untuk mengawal perniagaan sagu. 

Mereka mula membuka ladang sagu di kawasan Melanau, malah pada suatu ketika, hampir semua ladang rumbia yang besar dimiliki oleh golongan bangsawan tersebut.  Peniaga Melayu dari Kuching yang tidak dapat bersaing dengan peniaga dari Brunei di muara sungai menempatkan ejen mereka di hulu sungai – sesuatu yang di luar kawalan peniaga Brunei.

Langkah ini diambil sebagai satu strategi untuk mendapatkan sagu secara langsung daripada masyarakat Melanau. Peniaga sagu Melayu Sarawak telah menggunakan kapal untuk mengangkut sagu ke Singapura yang merupakan pengimport sagu utama pada waktu itu.  Menurut Ooi Keat Gin (1997), dari tahun 1840-an hingga 1850-an perniagaan sagu telah berkembang pesat sehingga peniaga sagu dari Sarawak meraih keuntungan yang lumayan.

Dari tahun 1847 – 1849  sebanyak 2000 tan sagu dieksport ke Singapura, kebanyakannya dari Borneo, terutamanya dari kawasan rumbia yang diusahakan oleh kaum Melanau (Baring-Gould & Bampfylde, 2007: 468). Permintaan tinggi untuk kegunaan dalam industri tekstil di Amerika Syarikat dan Eropah menyebabkan permintaan terhadap sagu semakin meningkat.

Dari segi nilai eksport, sagu berada pada kedudukan teratas sebagai eksport Sarawak pada tahun 1870 dan 1890, tetapi berada di tangga ketiga pada tahun 1910 dan kembali menjadi bahan eksport kedua penting pada tahun 1919, sebelum jatuh ke kedudukan keenam pada tahun 1960. Sesungguhnya, dari tahun 1870 – 1900, sagu menyumbang satu per enam hingga satu per lima nilai eksport Sarawak. 

Pada Oktober 1874, misalnya, editor Sarawak Gazette membayangkan kemakmuran dan keadaan hidup masyarakat Melanau kerana sagu. Hal ini digambarkan dalam perenggan berikut, ”Di sana, penduduk mempunyai cukup makanan, pakaian, dan secara perbandingan adalah lebih kaya; makanan utama mereka ialah sagu, dan pengeluaran adalah melebihi keperluan mereka. Lebihan bekalan dieksport ke Kuching dan Singapura”

Menjelang 1860-an, perniagaan sagu tumbuh dengan pesat seperti yang dibuktikan daripada jumlah eksport sagu yang melonjak daripada $67 000 pada tahun 1865 kepada $301 980 pada tahun 1874, iaitu peningkatan sebanyak lima kali ganda dalam tempoh sembilan tahun.

Borneo Company telah membuka kilang memproses sagu di Mukah pada tahun 1862, dan sepuluh tahun kemudian, sebuah lagi kilang dibuka di Oya, tetapi kilang tersebut lebih mahal untuk dikendalikan berbanding kilang yang diusahakan oleh orang Cina. Menjelang tahun 1888, Borneo Company hanya mengeksport sagu dan tidak lagi menumpukan perhatian kepada kegiatan pemprosesannya (Morris, 1991: 45).

Sagu semakin besar peranannya dalam ekonomi Sarawak dengan sebahagian besar daripada hasilnya adalah dari Mukah dan Oya, kawasan yang terletak tidak jauh dari Mukah. Jumlah urus niaga berkaitan dengan sagu semakin meningkat.  Eksport dari Mukah pada bulan Mei 1887, misalnya ialah 352.40 koyan manakala 379.50 koyan adalah dari Oya menjadikan jumlah keseluruhan ialah 731.90 koyan berbanding 735 koyan pada Mei 1886. Jumlah eksport sejak awal  tahun 1887 1466.90 koyan berbanding 1322 koyan untuk lima bulan pertama pada 1886 (Sarawak Gazette, 1 September 1887).

Pada awal 1890-an terdapat tidak kurang daripada 10 buah kilang sagu di negeri ini dengan kebanyakannya terdapat di Kuching.  Menurut Ooi Keat Gin (1997), Mukah terus menjadi pusat pengeluaran utama sagu, diikuti Oya, Bintulu, Matu, dan Bruit. Hakikatnya, sagu merupakan eksport pertanian utama bagi Sarawak sepanjang abad ke-19. Dalam tempoh tiga dekad terakhir abad ke-19, kestabilan kewangan Sarawak banyak bergantung kepada industri sagu. Malah, Sarawak membekalkan setengah daripada keperluan sagu dunia dalam tempoh tersebut.

Kebanyakan sagu berkenaan adalah dari kawasan Mukah, Oya, dan Rejang. Produk sagu bernilai $128,025 telah dieksport dari negeri ini pada tahun 1870 (Baring-Gould & Bampfylde, 2007: 468). Jumlah sagu yang dieksport dari Mukah dan Oya pada tahun 1877 ialah sebanyak 118,080 pikul; pada 1880 meningkat menjadi 185,840 pikul; 152, 920 pikul pada tahun 1885; sebanyak 279,120 pikul pada tahun 1892; sebelum mencecah 313,240 pikul pada tahun 1910. 

Dari segi peratusan, pada tahun 1877, Mukah dan Oya menyumbang sebanyak 36 peratus daripada keseluruhan jumlah sagu yang dieksport dari Sarawak. Pada tahun 1885 peratusan tersebut meningkat kepada 88 peratus, tetapi merosot kepada 75 peratus dan 61 peratus masing-masingnya pada 1892 dan 1910.

Pembabitan serius pengusaha Cina yang menyuntik modal telah dapat membina kilang yang lebih moden dengan daya pengeluaran yang lebih tinggi. Hal ini menyebabkan pemprosesan sagu secara tradisional semakin diabaikan. 

Malah, ada daripada pengusaha kilang moden yang membeli ladang-ladang sagu. Sementara itu, pekebun dan orang yang terlibat dalam menebang dan memproses rumbia menjual hasil mereka kepada pengusaha tersebut. Akhirnya, orang Melanau yang mengusahakan sagu secara kecil-kecilan kian terpinggir.

Malah, perkembangan dan pertumbuhan perdagangan yang pesat telah menyebabkan kawasan tersebut semakin maju, lebih-lebih lagi dengan kestabilan sosiopolitik yang sedia ada. Dari segi ekonomi pula, Inggeris telah  mengambil alih  perdagangan sagu daripada Brunei. Pada waktu itu Mukah dan kawasan di  sekitarnya merupakan kawasan penanaman rumbia yang penting. Pihak Inggeris telah mengalihkan perdagangan sagu dari Brunei ke Kuching.

Pengambilalihan kuasa politik dan ekonomi oleh Inggeris telah menjejaskan aktiviti perdagangan orang Melayu yang merupakan pedagang utama di Mukah. Tempat mereka telah diambil alih oleh pedagang Cina. Menurut Dzulfawati (2006), mereka telah diberi kebenaran oleh Inggeris  untuk membuka kilang memproses sagu di Mukah. Pedagang Melayu sering mengemukakan bantahan kepada Inggeris berhubung persaingan daripada pedagang Cina.

Malah, menurut Ooi Keat Gin (1997), Peristiwa Mukah pada tahun 1860 yang mengakibatkan penyerahan kawasan pengeluaran sagu kepada Rajah Sarawak setahun kemudian, merupakan penzahiran sokongan Brooke terhadap peniaga sagu Melayu Sarawak yang bersaing dengan peniaga Melayu Brunei. Menurut Ooi Keat Gin (1997), pada Ogos 1861, Sultan Abdul Mumin dari Brunei menyerahkan sejumlah kawasan dari Rejang hingga Tanjung Kidurong, kawasan sepanjang 176 kilometer yang mempunyai tanaman sagu kepada Rajah dengan bayaran tahunan sebanyak $4500.

Menurut Walker (2002), kejayaan Singapura sebagai pelabuhan bebas telah menggugat kedudukan para aristokrat Brunei. Hal ini menggalakkan elit daerah menjalinkan hubungan perdagangan secara langsung dengan Singapura dan mengelakkan monopoli perdagangan pihak istana. Bagi beliau, apabila sumber pendapatan pihak istana merosot, pihak aristokrat perlu menguasai kawalan kawasan rumbia di antara kawasan Rejang dengan Brunei. Oleh itu pihak Sultan perlu merancang strategi terbaik bagi memastikan kawalan terhadap kawasan rumbia dan industri sagu dapat diperkukuh.

 Sehubungan dengan hal itu gabenor dilantik untuk mengutip cukai daripada sagu. Walau bagaimanapun, usaha pedagang Melayu di Sarawak untuk turut terlibat dalam perniagaan sagu ketika pemerintahan Rajah Brooke telah menghakiskan kawalan Brunei. Keadaan ini telah menyebabkan pegawai dari Brunei mengemukakan aduan kepada pihak pemerintah Rajah Brooke.

Orang Melanau berpeluang untuk menanam sagu di atas tanah yang diwarisi daripada orang tua mereka. Namun, keluasan kawasan yang ditanam dengan sagu oleh individu berkenaan adalah terhad berbanding orang Iban. Orang Melanau tidak mempunyai tanah yang luas. Keadaan ini dihambatkan lagi oleh kekurangan tenaga kerja dan keupayaan mereka untuk mengupah orang lain menanam dan menebang pokok rumbia.

Disebabkan faktor tersebut, orang Melanau terpaksa bergantung pada pemilik tanah yang mempunyai kawasan tanaman sagu yang agak luas. Menurut Ooi Keat Gin (1997) pemilik berkenaan bertindak sebagai penaung, manakala pekerja bertindak sebagai pelanggan. Mereka saling bergantung antara satu dengan lain – penaung memerlukan pekerja untuk menebang dan memproses rumbia yang dimilikinya; manakala pekerja memerlukan penaung  untuk membolehkan mereka menjalankan kegiatan penebangan dan pemprosesan. 

Sesungguhnya, sagu dan rumbia merupakan aset penting dan dianggap sebagai pokok emas yang telah banyak membantu ekonomi masyarakat Melanau. Pokok rumbia tetap penting sebagai pokok pelbagai guna, bukan sahaja untuk membuat pelbagai jenis makanan tetapi juga kegunaan lain. Rumbia dan sagu dijangka terus menjadi produk penting pada masa depan.

Dr Jeniri Amir ialah Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara yang banyak membuat kajian dan menulis buku tentang kaum Melanau. Beliau, anak Melanau yang berasal dari Kampung Tellian Tengah, Mukah. Buku beliau Melanau di Sarawak, edisi kedua, akan terbit dalam waktu terdekat.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak