Suri rumah lapor polis diganggu along

PADAWAN: Bimbang akan keselamatan diri dan keluarga, seorang wanita membuat laporan polis kerana diganggu along.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata kejadian berlaku pada 13 September lepas kira-kira jam 11.30 malam, apabila mangsa yang merupakan suri rumah berusia lewat 20-an mendapati cermin rumahnya dipecahkan dan disimbah dengan cat merah serta pagar rumahnya dikunci.

“Mangsa mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh along kerana mangsa pernah membuat pinjaman wang dalam talian melalui Facebook sebanyak RM300.

“Namun mangsa tidak mampu membuat bayaran kerana along tersebut meminta mangsa membayar sehingga RM8,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, Aidil berkata mangsa tampil membuat laporan polis pada 14 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Katanya jika disabit kesalahan akan di denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan jika dilakukan buat kali kedua.

Sementara, Aidil menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pinjaman secara dalam talian melalui Facebook kerana pemberi pinjam wang tidak berlesen atau along menjalankan aktiviti mereka dengan berlindung di belakang syarikat pemberi pinjam wang berlesen.

Katanya, kebanyakan iklan memberi pinjam wang secara dalam talian adalah tidak wujud.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak