S’wak mungkin mansuh kuarantin 14 hari

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak bersedia untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib 14 hari untuk setiap individu yang masuk ke negeri itu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memansuhkan SOP berkenaan jika situasi di negeri ini mengizinkan.

“Sehingga hari ini kita masih menggunakan sistem kemasukan sedia ada yang mana mereka yang masuk daripada luar Sarawak akan menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Dalam masa yang sama kita akan mempertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut situasi di Sarawak ini iaitu apabila kita beralih daripada pandemik ke endemik.

“Jika keadaan sedemikian maka, kebanyakan SOP yang sedang dikuatkuasakan oleh JPBNS akan dibubarkan. Namun kita belum boleh mengumumkannya sekarang,” jelasnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini di Sri Aman hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak