Taman kaktus mini Candida

MENGGUNAKAN media sosial sebagai medium sepenuhnya – daripada proses membeli bahan dan mencari pelanggan, seorang penjawat awam Candida Owen mula berjinak-jinak dalam gubahan taman mini yang comel dan menyeronokkan.

Bermula dengan minat untuk menanam bunga apabila sering kali melihat ibunya yang mencintai keindahan bunga, membuatkan minat gadis Bidayuh ini datang secara semula jadi.

“Mengenai taman mini, minat saya bermula pada 2019 ketika saya bersama-sama rakan membuat lawatan ke Cameron Highland.

“Di situ, saya amat terpesona dengan pelbagai jenis kaktus mini dan beberapa spesies sakulen yang unik dan jarang ditemui.

Sekembalinya saya ke hotel, saya terlihat lagi gubahan terrarium di meja lobi membuat saya mula jatuh cinta dan hanyut ke dunia lain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Taman kaktus mini Candida

Ceritanya, dengan memandang ciptaan terbabit, beliau mempunyai idea sendiri untuk berfikir secara kreatif.

“Saya mula memikirkan untuk mengubahnya kepada bentuk yang lebih moden dan menarik,” tambahnya.

Kemudian, Candida terus melayari laman sesawang Shopee untuk mencari bahan gubahan.

“Semuanya di hujung jari dengan klik “fairy garden miniature” yang memaparkan pelbagai jenis pilihan dan harga.

Bagi balang pula, para pelanggan lebih sukakan balang kaca sebab ia nampak premium dan eskslusif apabila mudah didapati di kedai peralatan dapur seperti Livina.

“Malah, saya juga menggunakan barang terpakai antaranya, bekas plastik biskut yang tidak digunakan, penyepit buluh, batang aiskrim, batang kayu terbiar yang masih elok, serpihan pasu dan sebagainya sebagai bekas,” jelasnya.

Biar pun awalnya ia adalah sekadar untuk mengisi masa lapang, namun terdapat rakannya tertarik melihat hasil kerja yang dimuat naik Candida di media sosial serta sanggup membelinya.

“Pelanggan juga meminta saya menghasilkan taman mini khas mengikut tema untuk insan tersayang sempena hari jadi, hari persaraan malah yang menjadikan gubahan taman mini saya sebagai cenderahati bagi majlis sederhana.

“Bagaimanapun, buat sama ini, saya tidak mengambil tempahan kerana hanya menciptanya jika ada masa terluang,” tegasnya.

Seperti perniagaan lain, beliau turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 apabila berdepan masalah penghantaran pembelian bahan secara atas talian.

“Mereka mengambil masa yang lama untuk sampai terutamanya melibatkan tempahan kaktus, sukulen, bunga dan tumbuhan lain.

“Jadi, tidak dinafikan ada yang sampai sudah rosak, pasu terbalik dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau turut mengguna pakai kemudahan Internet sepenuhnya untuk mencari pelanggan yang ramai menyimpannya sebagai koleksi di pejabat dan rumah.

“Taman mini saya masih belum popular tetapi mempunyai peminatnya tersendiri.

Setiap hasil karya saya, saya muat naik ke Facebook dan dari situ, rakan-rakan sedar akan produk saya dan membuat tempahan serta mengesyorkannya kepada rakanrakan yang lain.

“Taman mini saya bermula pada harga RM50 bagi bekas plastic manakala bekas kaca bermula dari harga RM60.

“Harganya pula bergantung kepada ukuran, jenis tanaman, bahan dan tahap kerumitan dalam menghasilkannya.

Namun, bagi memastikan pelanggan saya memilikinya, harga boleh dirunding,” ujarnya.

Bagi cenderahati pula, beliau menjualkanya pada harga RM5 dengan saiz pasu lima sentimeter.

“Bagi memastikan saya menjadi pilihan pelanggan, saya akan terus mengasah kreativiti saya dari semasa ke semasa agar produk yang ditawarkan lebih unik berbandin daripada pasaran sedia ada.

“Penghasilannya juga mudah kerana zaman ini kita boleh mengikut panduan di Internet dan proses ubah suai boleh dilakukan mengikut kreativiti masing-masing,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin melihat atau membuat tempahan gubahan taman mini Candida, boleh melayari Instagram beliau di Homemistress.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak