Taman Rekreasi Kota Padawan buka Oktober ini

KUCHING: Taman Rekreasi Kota Padawan, Batu 10 di sini akan dibuka kepada orang awam bermula pada Oktober ini.

Kaunselor Majlis Perbandaran Kota Padawan (MPP), Shirley Pui berkata, projek itu telah siap pada 13 Ogos lalu dan dibangunkan sejak enam bulan lepas.

“Taman Rekreasi Kota Padawan yang dikenali sebagai Railway Park ini merupakan taman rekreasi unik.

“Pembinaan taman rekreasi ini bagi mengimbau kembali laluan menghubungkan Limbungan Brooke hingga ke Batu 10 pada zaman pemerintahan Brooke,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada fasa akhir pemeriksaan tapak projek taman rekreasi itu di sini pada Rabu.

Shirley menambah, pelbagai kemudahan disediakan di taman rekreasi itu yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Ini termasuk pintu masuk plaza, laluan berjoging, laluan refleksologi, stesen gim, pavilion, tandas awam dan sebagainya.

Malah katanya, ia turut dibangunkan dengan amalan aborikultur untuk pemeliharaan fizikal pokok terutama dari segi pengurusan risiko pokok dan estetik landskap.

“Taman rekreasi ini memberi nilai sejarah dan latar belakang pengangkutan kereta api di Kota Padawan yang merupakan perhentian Batu 10 yang terakhir pada zaman pemerintahan Brooke.

“Selain itu, taman ini menyediakan tarikan sejarah ikonik di Kota Padawan dan dilestarikan sebagai landskap kemudahan,” jelasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak