Tawar 30 peratus cuci kenderaan sempena Hari Malaysia

KOTA SAMARAHAN: Semangat patriotisme yang disemai Al-Marhum bapanya dipegang oleh Asmani Hamdan, 28, sehingga hari ini apabila akan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak pada setiap kali sambutan Hari Malaysia.

Menurut Asmani, arwah bapanya, Hamdan Saberi, 75, sering mengingatkan kepada mereka adik-beradik sejak kecil lagi agar menghayati pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.

“Saya tidak pernah melupakan ajaran beliau yang sangat menekankan Hari Malaysia sebagai antara hari istimewa yang perlu diingati sampai bila-bila,” katanya yang ditemu-bual, hari ini.

Malah sempena sambutan Hari Malaysia yang akan disambut esok, anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu telah memenuhi pusat cuci kereta yang diusahakannya iaitu ‘Oppa Car Wash’ di Lorong 12, Desa Ilmu dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

Ia sekali gus menarik perhatian pengguna jalan raya untuk bertandang bagi mencuci kenderaan mereka.

GANTUNG….Pekerja Oppa Car Wash bersama-sama menggantung bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

Anak jati Kampung Moyan Laut itu menjelaskan, inisiatifnya itu bukan sekadar ‘suka-suka’ tetapi sebagai usaha memartabatkan hari bersejarah itu di samping memberi peringatan kepada orang ramai bahawa tarikh tersebut merupakan hari istimewa bagi semua warga Malaysia khususnya di Bumi Kenyalang.

Bukan sahaja mengibarkan bendera, bahkan Asmani turut menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi perkhidmatan cuci kenderaan pada setiap kali sambutan Hari Malaysia.

“Ramai orang akan datang kerana mereka tahu setiap kali Hari Malaysia sememangnya kami akan membuat promosi mencuci kereta,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sambutan kali ini tampil berlainan berikutan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengehadkan jumlah pelanggan terlebih dahulu mengikut giliran bagi memastikan premisnya tidak dipenuhi oleh orang ramai.

Justeru, katanya orang ramai yang ingin bertandang ke pusat tersebut haruslah mematuhi SOP di samping mengikuti arahan daripada pekerja di situ bagi mengelakkan kesesakan panjang.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak