Terlalu awal KBS umum kemungkinan Sukma tanpa penonton

ASAJAYA: Keputusan menetapkan tiada penonton di Sukma Johor 2020 perlu dikaji semula berikutan negara dijangka akan memulakan fasa endemik akhir Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan semula atau diumumkan beberapa minggu sebelum temasya itu bermula selaras dengan pemerhatian semasa wabak pandemik itu nanti.

“Sebagai salah seorang peminat sukan, saya melihat stadium luar negara kini dipenuhi beribu penonton bola sepak meskipun hanya sekitar 60 hingga 70 peratus daripadanya sudah divaksin.

“Harapan saya apabila masuk ke fasa endemik nanti, segala aktiviti khususnya sukan boleh terbuka sedikit dengan membenarkan kehadiran penonton,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut beliau, dengan adanya kehadiran penonton ia akan menjadi pembakar semangat para atlet untuk merasai pengorbanan sebenar hasil kemenangan di setiap bidang sukan yang diceburi masing-masing.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan kemungkinan temasya Sukma diadakan tanpa penonton.

Kajian terperinci berkaitan perkara itu sedang dipertimbangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setelah mengambil kira atlet bawah 17 tahun yang belum divaksinasi akan turut dalam kejohanan yang akan berlangsung di Johor tahun depan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak