Tingkatkan kefahaman atlet melalui Bengkel Motivasi Potensi Dalaman SSC

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Motivasi Potensi Dalaman (Inner Potential Motivation) 2021.

Program kedua yang merupakan susulan selepas bengkel seumpamanya dilaksanakan pada bulan Julai lalu dilaksanakan secara aplikasi zoom.

Bengkel selama dua hari (25 & 26 September) menghimpunkan atlet daripada skuad pembangunan pelbagai jenis sukan.

Antaranya sukan petanque, boling padang, memanah, bola keranjang, golf dan tenpin boling.

Menariknya perjalanan dua hari bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Ahli Psikologi Sukan dari Institut Sukan Negara (ISN), Nurulisa Poli yang merupakan biskaunselor di Institut Keusahawanan Negara (ISKEN), Miri.

Turut sama menjayakan bengkel berkenaan ialah Ketua Bahagian, Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim.

Ketua Penyelaras Program SSC, Eqa Eqma Bujang Adris memberitahu, objektif penganjuran bengkel tersebut untuk memberi kefahaman kepada peserta terlibat mengenai definisi potensi dan motivasi dalaman.

Di samping pendekatan terbaik untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi mental dan sukan.

“Apa yang diharapkan melalui bengkel yang dianjurkan ini akan dapat membantu peserta terbabit memahami matlamat peribadi mereka dalam bidang sukan diceburi serta pendidikan sekali gus mengekalkan motivasi selain mengenal pasti potensi dalaman individu melalui watak dan keperibadian mereka,” tegas Eqa.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak