Tipu bina rumah, pengurus syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah

KUCHING: Seorang pengurus syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret hari ini, atas tiga pertuduhan melibatkan kes penipuan kerja-kerja pembinaan rumah pada Disember tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 49 tahun, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zaiton Annuar.

Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi dua pertuduhan.

Manakala, bagi satu pertuduhan lagi turut dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin tempatan.

Namun demikian, tertuduh gagal membayar wang jaminan dan seorang penjamin kemudian ditahan reman penjara di Puncak Borneo.

Mahkamah menetapkan pengurusan lanjut kes kepada 21 Oktober depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, tertuduh ditangkap pada 11 September lalu, dengan dua kertas siasatan dibuka terhadapnya melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM97,000.

“Tertuduh menawarkan kepada mangsa untuk kerja pembinaan rumah dan meminta mereka membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam akaun bank syarikat miliknya.

“Namun, kerja pembinaan rumah tersebut tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak