Ugut bapa guna pisau, lelaki didenda RM5,000

KUCHING: Akibat mengacukan sebilah pisau sambil mengeluarkan kata-kata ugutan, seorang lelaki berumur 30 tahun dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5000 atau hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hakim Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Phang Jit Jin, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengugut ayahnya menggunakan sebilah pisau yang disaksikan oleh ibunya di sebuah rumah di Jalan Pisang Barat, Kuching di sini pada 8.00 pagi, 20 September yang lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh mengamuk selepas mangsa menyuruh suspek untuk memulangkan semula besi grill yang telah dijual lalu menggacukan sebilah pisau sambil berkata ‘U jaga’.

Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri.

Tertuduh kemudian, ditangkap di kediamannya di Jalan Pisang Barat sehari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak