Ujian calitan rt-PCR tidak lagi diperlukan untuk masuk ke Bahagian Bintulu

BINTULU : Tiada lagi syarat menjalani ujian calitan RT-PCR bagi individu yang ingin memasuki Bahagian Bintulu mulai hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBBB) Bintulu Jack Aman Luat.

Menurutnya, ia adalah arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada Jumaat.

Katanya, Bintulu seperti juga bahagian lain harus akur terhadap keputusan JPBN apabila ujian calitan RT-PCR tidak lagi diperlukan ke atas setiap individu sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, bagi individu yang belum menerima suntikan vaksin, mereka perlu
mengemukakan keputusan ujian calitan RT-PCR selain permit polis untuk rentas bahagian bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus tersebut, katanya lagi.

“Pada masa sekarang, segala arahan berkaitan rentas bahagian termasuk kemasukan ke Bintulu adalah sama sebagaimana bahagian lain di negeri ini sekali gus memudahkan pergerakan semua pihak,” tambah Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu.

Sebelum ini, Bintulu merupakan satu-satunya bahagian di negeri ini yang mengkehendaki setiap individu menjalani ujian calitan RT-PCR sekiranya ingin memasukan bahagian ini.

Malah, syarat kemasukan ini turut menimbulkan pelbagai rungutan di kalangan masyarakat yang menganggap ia membebankan ekoran kos yang tinggi dan sebagainya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak