Wajah baharu, menu bertambah

SETIAP kali datang ke Mukah, wajib mencari tempat untuk menjamu selera, dan salah satu tempat makan yang boleh dikunjungi adalah Medan Selera Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) yang kini berwajah baharu dan lebih selesa.

Medan selera yang terletak di tebingan Mukah, iaitu bersebelahan dengan Tua Pek Kong Mukah itu, sudah mengalami transformasi sepenuhnya apabila projek naik taraf bumbung dan gerai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan MDDM itu siap sepenuhnya Ogos lalu.

Melihat perubahan tersebut, Suara Sarawak menemui beberapa peniaga di medan selera ini yang rata-rata sangat bersyukur dengan kemudahan baharu itu.

Menurut mereka, ia sedikit banyak membantu peniaga untuk terus bangkit dalam tempoh sukar kini.

Peniaga kedai makan, Rasnah Tribi, 63, berkata, dia lega apabila projek naik taraf medan selera itu akhirnya direalisasikan setelah lebih 26 tahun dia berniaga di sini.

“Syukur Alhamdulillah sebab sebelum ini, kita tahu medan selera ini tidak berbumbung.

Kami terpaksa guna payung untuk bawa makanan ke meja pelanggan yang jauh, selain membuka khemah.

“Sekarang keadaan sangat selesa. Kami dapat berniaga seperti biasa setiap hari tetapi masih bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Manakala bagi pemilik Kafe Sri Diana, Rabuyah Abdullah, 48, dia puas hati dengan pembaharuan yang dibuat di medan selera itu. Katanya, dia bersemangat untuk berniaga setiap hari apatah lagi semua pelanggan memuji rupa baharu medan selera itu sangat cantik.

“Daripada pelanggan hingga kami semua yang berniaga di sini sangat puas hati.

“Inilah yang kami nanti nantikan dan akhirnya saya sempat menggunakan kemudahan yang serba lengkap dari bumbung, sistem aliran air hujan dan lantai simen baharu ini.

“Dengan semua pembaharuan ini, sekarang kami sangat selesa bekerja.

Malah, meja makan juga kami tambah daripada enam kepada 13 meja.

“Pelanggan juga semakin bertambah, dan menu juga bertambah dan menu baharu iaitu Nasi Beriani Hujan Panas yang kami perkenalkan mendapat perhatian ramai,” ujarnya.

Secara keseluruhan, dia tidak lagi mendengar keluhan daripada pelanggan yang sebelum ini berlaku ketidakselesaan ketika mereka menjamu selera apatah lagi semasa hujan.

Apa-apa pun dalam pandemik Covid-19 sekarang katanya, peniaga di sini sentiasa memastikan keadaan tidak sesak ketika urusan jual beli dan hanya membenarkan dua pelanggan makan di satu meja.

“Tidak boleh ramai!” tegasnya Zaleha Julaihi, 58, turut puas hati dengan keadaan baharu medan selera tersebut.

Baginya, pelanggan sangat positif dalam menyokong perniagaan kedai makan mereka apabila ramai yang tapau makanan dari kedai makan mereka.

“Perkara yang tidak mengizinkan sekarang ini hanya keadaan pandemik menyebabkan tidak banyak pelanggan datang makan di sini, walaupun kemudahan medan selera sudah selesa sepenuhnya.

“Terima kasih kepada pelanggan yang tetap datang ke sini. Kepada pihak kerajaan melalui KPLB, terima kasih kerana menaik taraf medan selera ini,” ujarnya lagi.

RABUYAH ABDULLH

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak