Wan Junaidi: Tubuh jawatankuasa bersama untuk transformasi Parlimen

KUCHING: Sebuah Jawatankuasa bersama Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan ditubuhkan bagi memastikan usaha transformasi Dewan Rakyat dapat dilaksanakan dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.

“Kami bersetuju membentuk jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementerian saya bagi memastikan pelbagai cadangan yang telah dibincang untuk mentransformasikan Parlimen dapat dilaksanakan dengan cepat.

“Untuk tindakan selanjutnya, saya akan menyerahkan laporan mengenai perkara ini kepada Kabinet untuk disahkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, tiga isu utama telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuk mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 (disemak 1988) kerana ia tidak lagi sesuai dengan landskap politik pada abad ke-21.

Mengulas lanjut, katanya diturut dibincangkan adalah untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kebebasan kepada Parlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, isu ketiga adalah untuk melaksanakan lebih banyak pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana banyak peraturan sedia ada merupakan peninggalan Perjanjian Persekutuan 1948, yang hanya dipinda pada tahun 1956 dan 1959 serta tidak dapat menampung banyak perkara moden di Parlimen.

Suara Sarawak