Wang tunai RM20,000 untuk peminat e-sukan

KUCHING: Sebanyak RM20,000 wang tunai menanti pemenang terhadap kejohanan Piala E-Sukan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak 2021 yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 September tahun ini.

Pertandingan peringkat kebangsaan itu dibuka oleh Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (MYSS) dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA) bersempena sambutan Hari Malaysia bakal menjelang.

Menurut kenyataan media MYSS, dua kategori e-sukan iaitu ‘PUBG Mobile’ dan ‘Mobile Legend’ akan dipertandingkan dengan sasaran seramai 2,816 peserta daripada 256 kumpulan dijangka akan menyertai kedua-dua kategori.

“Hadiah bagi kedua-dua kategori terdiri daripada pemenang pertama sebanyak RM10,000, diikuti naib johan RM2,500, ketiga RM1,500, keempat (RM600), kelima (RM400), manakala tempat keenam hingga sepuluh masing-masing RM200.

“Syarat penyertaan adalah peserta belia dari seluruh Malaysia berumur 40 tahun ke bawah yang telah berdaftar terhadap kejohanan melalui Facebook Sarawak Esports Association (SESA) bermula 7 September hingga 13 September 2021,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, kejohanan ini merupakan usaha pihak MYSS dengan kerjasama SESA untuk melahirkan atlet e-sukan profesional melalui platform pencarian bakat di peringkat akar umbi.

Malah pentas tersebut turut menjadi platform mendedahkan pemain amatur khususnya di Sarawak yang berpotensi di kejohanan peringkat kebangsaan mahu pun peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, antara kejayaan yang telah dikecapi iaitu kemenangan pasukan Negeri Sarawak iaitu Team Thanks di dalam kategori Dota 2 Malaysia Esports League serta berjaya membawa pulang hadiah berjumlah RM20,000.

Perkara ini sekali gus membuktikan penganjuran amatur ini dapat membantu mempersiapkan pemain di peringkat awal.

Melalui kejohanan ini juga pemain bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan mereka, malah ia dapat menyerlahkan potensi dan disilpin semasa menghadapi cabaran di pertandingan.

Suara Sarawak