Wanita serah diri bantu siasatan kes penipuan

PADAWAN: Seorang wanita yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengenai kes tipu telah ditahan pada semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata suspek, 30, menyerah diri di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 10.00 pagi ekoran hebahan media dibuat dua minggu lepas.

“Suspek mengaku telah menerima duit pelaburan sebanyak RM15,000 dari mangsa namun telah serahkan secara tunai kesemua duit tersebut secara berperingkat kepada seseorang lelaki apabila maklumat lelaki tersebut gagal diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidil berkata, terdahulu, mangsa telah membuat laporan polis setelah tertipu dengan satu pelaburan di bawah sebuah syarikat melalui seorang wanita.
Tambahnya, mangsa telah membayar secara tunai kepada penama terbabit dan ada juga wang dimasukkan ke dalam satu akaun atas syarikat tersebut.

“Mangsa sedar ditipu kerana tidak mendapat keuntungan pelaburan seperti dijanjikan mengikut perjanjian,” katanya lagi.

Kata Aidil, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak