Wanita warga emas lesap RM149,550

PADAWAN: Seorang wanita warga emas lesap wang tunai sebanyak RM149,550 akibat diperdaya sindiket penipuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 60 tahun menerima mesej daripada satu nombor asing kira-kira jam 12 tengah hari, yang memberitahu dia ada membuat pembelian barang dari Shopee sebanyak RM2,636.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa diminta menghubungi nombor pihak Maybank dan bercakap dengan lelaki bernama John Ng, yang kemudian mengatakan maklumat peribadi mangsa telah digunakan oleh orang lain mendaftar kad kredit Maybank Master Gold di Kuala Lumpur dan telah tertunggak sebanyak RM4,778.90.

Beliau menambah mangsa seterusnya diminta menghubungi nombor Bank Negara Malaysia, sebelum mangsa disuruh membeli insuran dan mangsa bersetuju.

“Mangsa kemudian ada menerima beberapa nombor kod kebenaran transaksi (TAC) dan suspek mengarahkan mangsa memberikan nombor TAC itu kepada mereka.

“Mangsa menjadi panik dan bertindak mengikuti semua arahan dan permintaan suspek.

“Setelah nombor TAC diserahkan mangsa menyedari terdapat transaksi wang keluar dari akaun Public Bank dan Maybank miliknya berjumlah RM23,850 dan RM125,700,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata mangsa yang merasa terpedaya dan ditipu segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak