Warga emas rugi RM48,340 ditipu ‘pegawai bank negara’

PADAWAN: Seorang lelaki warga emas rugi sebanyak RM48,340 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pada 6 September lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, mangsa, 60, semasa berada di rumah di Taman Matang Jaya, Kuching telah menerima satu mesej daripada nombor asing +639659609362 yang memberitahu mangsa ada membuat bayaran
dengan Shopee menggunakan Master Gold Card Maybank sebanyak RM2639.10.

Katanya, mangsa menafikan perkara tersebut kerana tidak pernah mendaftar Master Gold Card.

Beliau berkata, mangsa kemudian telah menghubungi nombor 01126934159 dan bercakap dengan seorang yang memperkenalkan diri sebagai Alisa dan mangsa telah meminta nombor telefon
Bank Negara Malaysia daripadanya.

“Mangsa kemudian telah menghubungi nombor 1800-81-9904 dan dijawab oleh seorang lelaki yang dikenali dengan nama Chong Bong Yat menyatakan Master Gold Card tersebut didaftarkan di Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Pegawai Bank Negara tersebut telah meminta semua nombor kad kredit dan kad
debit serta tarikh luput kad kredit dan kad debit milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jaw Shyong berkata, mangsa hanya menurut saja arahan pemanggil dan telah memberi butir-butir yang diminta kerana percaya dengan kata-kata pegawai Bank Negara tersebut bahawa kesemua
kad milik mangsa akan dibekukan supaya tidak ditipu oleh pihak lain.

Katanya, mangsa juga telah memberikan nama pengguna perbankan dalam talian dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima oleh mangsa kepada suspek.

Tambahnya, setelah memberikan semua butiran tersebut, mangsa telah menerima mesej notifikasi menyatakan terdapat transaksi pindahan wang dari akaun mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang merasa terpedaya dan tertipu telah membuat laporan polis pada 15 September.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak