Zon Selatan boleh “dine-in” bermula Isnin ini.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju membenarkan makan di dalam premis, kedai makan dan restoran di Zon Selatan Sarawak bermula 20 September ini.

JPBN bagaimanapun berkata, ia hanya dibenarkan bagi operator, pekerja dan pelanggan yang sudah mendapat dua dos lengkap vaksin Covid-19.

“Selain itu, pemilik premis perniagaan diwajibkan untuk memastikan ventilasi dan pengudaraan adalah mengikut piawaian yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH),” kata JPBN dalam kenyataan, hari ini.

Zon Selatan adalah melibatkan Daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Dalam perkembangan sama, JPBN memberitahu tempoh operasi perniagaan lain juga dibenarkan beroperasi dari jam 5.00 pagi hingga 10.00 malam.

“Manakala individu atau kumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 12:00 malam tanpa alasan yang munasabah,” tambahnya.

Sementara bagi pergerakan rentas daerah JPBN menegaskan bahawa kelulusan permit polis masih diperlukan, namun keputusan ujian RT-PCR atau RTK-Antigen tidak diperlukan lagi berkuat kuasa 18 September ini.

Suara Sarawak