Zon selatan Sarawak beralih ke Fasa 3 PPN mulai 1 Oktober

KUCHING: Zon Selatan di Sarawak akan mula beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 1 Oktober ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keputusan tersebut dipersetujui Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak (MKN).

“Ia dipersetujui setelah membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Zon Selatan.

“Oleh itu, seluruh Sarawak akan berada dalam PPN Fasa 3 berkuatkuasa 1 Oktober 2021 (12.01 pagi),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zon selatan merangkumi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Dalam perkembangan yang sama, JPBN berkata pergerakan rentas daerah dalam fasa 3 PPN masih memerlukan kelulusan PDRM (permit polis).

Manakala bagi pemandu dan pekerja bagi kenderaan membawa barang dan perkhidmatan perlu, mereka wajib menjalani saringan ‘RTK-Antigen’ atau ‘Saliva Test’ setiap 7 hari mulai 28 September ini.

“Mereka juga perlu mendapatkan permit PDRM jika perlu melaksanakan tugas secara merentas daerah dengan kerap atau berkala,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak