Tiada pengumuman pembubaran Dun Sarawak esok – Pejabat Ketua Menteri

KUCHING: Pejabat Ketua Menteri menafikan laporan berita bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan membuat pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) esok, bagi membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

“Merujuk kepada laporan oleh STAR dan portal berita lain mengenai pengumuman oleh Ketua Menteri mengenai pembubaran Dun pada Jumaat, pejabat ini ingin menjelaskan bahawa tidak ada pengumuman yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok seperti yang dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Desas-desus PRN Sarawak Ke-12 bertiup kencang apabila Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan dijangka membubarkan Dun pada Jumaat ini.

Beliau dijangka membuat pengumuman tersebut di Kuching dalam satu sidang media khas.

Meskipun perkhabaran itu agak mengejutkan, namun ramai pihak telah menjangkakan perkara itu apatah lagi DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu.

Bagaimanapun, proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak