Bijak guna media sosial

PLATFORM laman sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp kembali pulih selepas hampir enam jam gagal diakses oleh pengguna di pelbagai negara di Eropah, Asia, Amerika Latin, Amerika Utara termasuk Malaysia.

Jutaan pengguna berdepan kesukaran mengakses ketiga-tiga media sosial tersebut sejak jam 12 malam Isnin hingga sekitar 6.30 pagi Selasa waktu Malaysia.

Disifatkan DownDetector sebagai masalah teknikal terbesar pernah berlaku dan mendapat sebanyak 10.6 juta laporan masalah di seluruh dunia. Pakar keselamatan memaklumkan bahawa gangguan berkenaan disebabkan oleh kesalahan dalaman dan mengikut teorinya mungkin ada orang di syarikat berkenaan mensabotaj aplikasi terbabit.

Kesannya, Mark Zuckerberg berdepan kerugian AS$7 bilion (RM29 bilion) akibat masalah jaringan tersebut. Malah syarikat pengukuran iklan Standard Media Index menjangkakan Facebook kehilangan sekitar AS$545,000 (RM2.2 juta) sejam, sepanjang gangguan itu.

Hal ini menyebabkan saham Facebook jatuh sekitar lima peratus.

Ketika itu, pemilik media sosial berkaitan turun ke posisi keenam dengan harta kekayaan AS$120.9 bilion menurut Entrepreneur.

Facebook pada Selasa pagi memuat naik kenyataan berbunyi: “Kepada komuniti besar pengguna dan perniagaan di seluruh dunia yang bergantung pada kami, kami minta maaf.”

Gangguan selama enam jam itu sebenarnya membuktikan kehidupan seharian kita pada masa kini amat bergantung kepada tiga platform terbesar tersebut meskipun masih terdapat pelbagai media sosial lain seperti Telegram, Twitter, YouTube, TikTok, Linkedln dan sebagainya.

Media sosial telah mendapat perhatian setiap peringkat umur masyarakat seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju.

Golongan remaja khususnya melihat media sosial sebagai satu trend terkini untuk mengisi aktiviti pada waktu lapang di samping bersosial di alam maya.

Pensyarah Kanan Kolej Universiti Antarabangsa INTI Dr Revathi Sagadavan berkata, kajian mendapati sebilangan besar respondennya iaitu 60.9 peratus memilih untuk berinteraksi di platform media sosial.

Katanya, penyelidikannya mendapati Gen Z cenderung untuk tidak menggunakan e-mel sebagai alat komunikasi (29 peratus) kerana mereka lebih suka kaedah komunikasi yang lebih tidak formal di platform seperti YouTube, Instagram, WhatsApp dan Facebook.

Bukan itu sahaja, tahun 2021 menyaksikan lebih 1.4 bilion panggilan suara dan panggilan video dirakamkan di seluruh dunia melalui aplikasi WhatsApp, peningkatan hampir 50 peratus berbanding aksi tahun baharu 2020. Senario itu membuktikan aplikasi WhatsApp kini mendominasi kehidupan manusia, khususnya dalam era pandemik Covid-19.

Ia telah menjadi satu kemestian dalam gaya hidup individu yang memiliki telefon pintar kini untuk mempunyai aplikasi tersebut termasuk Facebook dan Instagram sebagai medium perhubungan penting.

Kebergantungan kita terhadap platform tersebut bukan sahaja dari segi perhubungan tetapi menjadi medan penting bagi usahawan usahawan untuk memasarkan produk jualan atau perkhidmatan.

Malahan tidak dapat dinafikan juga bahawa masyarakat masa kini lebih cenderung untuk menggunakan ketiga-tiga aplikasi tersebut bagi membincangkan atau mendapatkan isu-isu serta berita terkini selain mengutarakan pendapat masing-masing berkenaan dengan isu-isu semasa.

Buktinya, selepas ketiga-tiga platform tersebut kembali pulih, kita dapat lihat banyak pengguna meluahkan kerisauan, kegelisahan serta kebimbangan semasa ia tidak dapat diakses untuk tempoh yang agak panjang.

Benar kerana kita sudah biasa bergantung kepada kesemua platform dalam talian ini sebelum tercetusnya pandemik Covid-19 lagi untuk pelbagai tujuan, seperti berhibur, mendapatkan maklumat, berkomunikasi, aktiviti pengajaran serta pembelajaran dan lain-lain.

Tetapi, secara jelasnya semasa Covid-19 melanda dunia pada penghujung 2019, masyarakat semakin bergantung kepada media sosial untuk kelangsungan hidup.

Media sosial sememangnya membawakan banyak kesan, sama ada positif mahupun negatif.

Justeru, bagi mengurangkan kebergantungan kepada media sosial, langkah yang paling mudah ialah melakukan “detoksifikasi digital”.

Sesi detoks digital boleh dilakukan dengan cara memutuskan sambungan dari peranti pintar untuk suatu jangka masa pendek dan membaca buku bercetak yang belum dibaca selama ini.

Matikan juga pesanan pemberitahuan di telefon, seperti mesej yang diterima di WhatsApp, Facebook dan sebagainya.

Kita tidak perlu tahu, kawal dan berkongsi segalanya di mana-mana medium sebaliknya luangkan masa bersama-sama keluarga.

Kurangkan masa skrin (screen time) dan lebihkan masa bersama keluarga atau menikmati alam semulajadi juga dapat detoks pemikiran dan tingkah laku manusia.

Sebagai manusia, kita memang tidak dapat lari daripada media sosial.

Teknologi sememangnya menjadikan hidup kita lebih mudah dan tenang jika digunakan dengan betul.

Namun, kita boleh mengawal corak penggunaannya dan mengurangkan kebergantungan melampau.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak