Sarawak tingkatkan jumlah penerbangan kepada 223 kali seminggu

KUCHING: Bermula 1 November ini, jumlah penerbangan ke Sarawak dipertingkatkan daripada 89 kepada 223 penerbangan seminggu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin.

Menurutnya, semua syarikat penerbangan yang terlibat sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut bagi mengesahkan jadual penerbangan mereka kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Dengan ini, penerbangan dari luar Sarawak ke Kuching akan meningkat daripada 44 kali kepada 114 kali seminggu, manakala penerbangan ke Miri meningkat daripada 19 kali kepada 40 kali seminggu.

“Sementara bagi Sibu, jumlah penerbangan meningkat daripada lapan kali kepada 31 kali seminggu, Bintulu (enam kali kepada 24 kali seminggu), Limbang dan Lawas (lima kali kepada tujuh kali seminggu) dan Mulu kekal tujuh kali seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sekarang terpulang kepada syarikat penerbangan untuk memulakan pengoperasian kekerapan baharu penerbangan yang dijadual bermula Isnin ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak