127 individu, 8 premis dikompaun sepanjang 1 Oktober hingga 7 Oktober

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah mengeluarkan sebanyak 135 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM269,000 sepanjang 1 Oktober hingga 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan terhadap individu dengan jumlah keseluruhan kompaun RM189,000 diikuti lapan premis perniagaan dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM80,000.

Selain itu, katanya, seramai 187 individu telah dinasihatkan di kawasan pelancongan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, ia melibatkan sebanyak 70 individu dinasihatkan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku di premis, 58 individu dinasihatkan memastikan penjarakan fizikal dan 59 individu dinasihatkan sentiasa menggunakan pelitup muka di kawasan awam.

“Polis akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan khususnya di Daerah Kuching.

“Tindakan tegas wajar diambil terhadap individu mahupun premis yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara, beliau berkata, polis menyeru setiap individu dan premis perniagaan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutama berkaitan dengan kebenaran pelancongan agar dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 demi kepentingan kesihatan dan ekonomi bersama.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak