18 petugas terima dos penggalak

MUKAH: Seramai 18 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Bahagian Mukah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mukah, pada Rabu.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr. Huzaimah Husin, pemberian dos berkenaan adalah secara berperingkat-peringkat.

“Peringkat pertama ini kita utamakan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM yang melibatkan diri secara langsung dengan pengawalan Covid-19.

“Manakala peringkat kedua untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan syarat mereka menerima dos pertama dan kedua ialah vaksin Pfizer sahaja,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas menerima dos vaksin penggalak berkenaan di sini.

Dr Huzaimah turut menjelaskan, untuk dos ketiga vaksin Covid-19 berkenaan terdapat dua jenis iaitu dos ketiga dan dos penggalak.

ANTARA petugas kesihatan yang menerima vaksin dos penggalak di Mukah.

“Dos ketiga ini kita beri kepada individu yang memang daripada awalnya mempunyai imuniti yang rendah.

“Dengan dos ketiga ini, dapat membantu imun badan memberi respons yang bagus terutama mereka yang mempunyai penyakit serta menjalani rawatan kanser dan sebagainya.

“Sekarang ini bagi dos ketiga untuk Bahagian Mukah kita akan buat di peringkat hospital.

“Manakala untuk dos penggalak, akan diberikan kepada semua individu yang sebelum ini menerima vaksin jenis Pfizer,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pemberian vaksin dos penggalak akan diberikan kepada mereka yang menerima vaksin Pfizer dan jarak masa antara dos kedua dan dos penggalak ini ialah sekurang-kurangnya enam bulan.

“Kita akan beritahu secara terperinci setiap individu yang perlu mendapatkan dos penggalak ini.

“Tetapi dari semasa ke semasa, KKM akan menilai semula garis panduan,” katanya.

Proses pemberian vaksin dos penggalak semalam berjalan lancar dan Dr Huzaimah menjadi individu pertama menerima vaksin tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak