2.48 juta ekar tanah NCR di Sarawak berjaya diukur dalam tempoh 11 tahun

SIMUNJAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas 1,005,765 hektar atau 2.48 juta ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk tempoh 11 tahun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut seluas 778,439 hektar atau 1.92 juta ekar telah diwartakan.

“Bayangkan betapa jauh perbezaan hasil penyukatan melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang bermula tahun 2010 hingga kini, berbanding program penyukatan lama (1960 hingga 2010).

“Dalam tempoh 50 tahun tersebut, kaedah penyukatan lama ini tidak memberangsangkan. Hanya seluas lebih kurang 260,000 hektar atau 642,460 ekar tanah NCR yang berjaya disukat.

“Secara puratanya hanya seluas 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun. Sedangkan permintaan untuk menyukat tanah NCR ini begitu banyak,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan dan Sumber Asli Kedua pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian dan Kediaman) di Dewan Masyarakat Gedong, Simunjan, hari ini.

Menurutnya, program yang mula dilaksanakan pada 2010 itu sangat efisien dan penting dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera.

Mengenai projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK), katanya ia inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

“Projek ini lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu seperti penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang kini dinaik taraf kepada jalan berturap, lot-lot ditembok dan sistem perparitan konkrit.

“Semua ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dengan kos lebih kurang RM100,000 hingga RM 120,000 satu lot.

“Satu lagi inisiatif baharu dalam SPS dan SPK adalah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus iaitu tidak melebih RM2,500,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak