2 tekong tempatan, 35 Pati ditahan

KUCHING: Kanak-kanak berusia 7 tahun antara 35 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia yang ditahan ketika cuba memasuki negeri ini secara haram menggunakan jalan tikus di sempadan.

Turut ditahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan, yang dipercayai menjadi tekong membawa masuk tiga daripada Pati berkenaan.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata kesemua Pati dan tekong terbabit ditahan dalam enam siri tangkapan yang dilakukan pada Isnin dan semalam.

Katanya tangkapan pertama pada Isnin melibatkan dua lelaki Indonesia berumur 33 dan 39 tahun di sekitar kawasan Ladang Sawit Salcra, Bau.

Manakala, beliau berkata tangkapan kedua membabitkan dua warga tempatan yang membawa masuk tiga lelaki Indonesia berusia 30 hingga 45 tahun menggunakan sebuah Perodua Viva di kawasan Lachau, Sri Aman.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan wanita warga tempatan dipercayai tekong membawa tiga lelaki warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saini menambah tangkapan ketiga dibuat kira-kira jam 12.10 pagi semalam, melibatkan empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 41 tahun, yang sedang bersembunyi dalam kawasan semak di sekitar jalan ladang di Serian.

“Kesemua individu terbabit diarahkan untuk berpatah balik ke Indonesia melalui jalan yang sama,” katanya.

Beliau berkata tangkapan keempat pula membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 26 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Tebedu.

“Mereka ditahan ketika sedang bersembunyi dalam kawasan semak di tepi jalan,” katanya.

Saini berkata tangkapan kelima dilakukan di sekitar kawasan Ladang Sawit Dafa, Lundu membabitkan dua lelaki berumur 33 dan 37 tahun.

Sementara, beliau berkata tangkapan keenam membabitkan 14 lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 39 tahun yang sedang bersembunyi di kawasan semak di kawasan kampung sekitar Serian.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak