21 orang Pati cuba menyelinap ke Sarawak diusir keluar anggota keselamatan

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki antara 21 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) diusir keluar oleh anggota keselamatan setelah cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus dalam dua kejadian berasingan.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pengusiran pertama berlaku semalam sekitar jam 1.50 petang di jalan tikus di sekitar Kandaie, kira-kira 100 meter dari sempadan.

Katanya, sepasukan anggota keselamatan sedang melaksanakan rondaan telah berjaya mengesan empat individu berjalan kaki memasuki Malaysia dari arah Indonesia.

Empat orang Pati yang cuba menyelinap masuk melalui jalan tikus di sekitar Kandaie telah diusir keluar oleh anggota keselamatan.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua individu lelaki berusia antara 17 hingga 55 tahun merupakan Pati kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan turut menyatakan tujuan ke Malaysia untuk mencari hasil hutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara katanya, pengusiran kedua pada hari ini sekitar jam 7 pagi ketika sepasukan anggota menjalankan rondaan telah mengesan 17 orang dipercayai Pati berjalan kaki memasuki Malaysia kira-kira 100 meter dari sempadan Indonesia di kawasan Lubok Antu.

Jelasnya, setelah ditahan dan disoal siasat, 12 individu lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun, empat individu wanita berusia antara 21 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun disahkan sebagai Pati.

“Mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, kesemua Pati diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya dan pemantauan serta rondaan berterusan giat dijalankan oleh pasukan yang bertugas.

Suara Sarawak