39 strategi, 95 pelan tindakan Dasar Kebudayaan Negara 2021

KUALA LUMPUR: Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancar hari ini dilengkapi 39 strategi dan 95 pelan tindakan sepanjang lima tahun tempoh pelaksanaannya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata pemantauan akan dilakukan terhadap setiap program yang dianjurkan sepanjang tempoh pelaksanaan dasar tersebut antara 2021 dan 2025 sekali gus yakin pihak berkepentingan akan memberi kerjasama dan sokongan padu dalam merealisasikan DAKEN.

“Semakan semula strategi dan pelan tindakan DAKEN akan dilaksanakan selepas 2025,” katanya berucap pada majlis pelancaran DAKEN di Panggung Sari Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri MOTAC Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata DAKEN adalah hasil kajian, semakan dan kesinambungan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971.

Menurut Nancy pelaksanaan DAKEN itu akan melibatkan empat institusi penting iaitu kekeluargaan, pendidikan, kemasyarakatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata dasar tersebut tidak akan meminggirkan mana-mana pihak selari dengan agenda pembangunan sosioekonomi negara.

“Ini bermakna Keluarga Malaysia bebas untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha merealisasikan agenda DAKEN,” katanya. — BERNAMA

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak