59 projek naik taraf sekolah daif di Sarawak tahun ini

SADONG JAYA: Sebanyak 59 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah dalam kategori daif di Sarawak telah diluluskan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, ia melibatkan kos keseluruhan RM402 juta.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja ke tiga buah sekolah iaitu SK Pangkalan Kuap, SK Sambir dan SK Pendam untuk melihat perkembangan projek naik taraf sekolah daif dan gantian di negeri ini, hari ini.

“Secara amnya, saya berpuas hati dengan perkembangan pembinaan sekolah yang telah dilaksanakan.

“Justeru, saya berharap agar projek lain yang masih dalam proses pembinaan dapat berjalan dengan baik dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak kementerian dan agensi berkaitan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke SK Pendam, di Sadong Jaya, hari ini.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan dari tahun 2019 hingga 2021 sebanyak 186 projek telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melibatkan sekolah-sekolah daif di Sarawak dengan kos kira-kira RM1.5 bilion.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak