87.6 peratus populasi dewasa divaksinasi sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,513,168 individu atau 87.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 masing- masing setakat semalam.

Perkembangan terbaru itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini tinggal kira-kira 2.4 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW, 94.3 peratus atau 22,081,548 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam juga, seramai 108,826 atau 3.5 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 206,574 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 96,024 dos pertama dan 110,550 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,352,079 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, 14 kes kematian harian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan satu daripada jumlah itu membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,683. — BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak