Abang Johari: Peruntukan Sarawak dalam RMK-12 rendah

KUCHING: Peruntukan berjumlah RM4.47 bilion untuk Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) disifatkan rendah berbanding dengan keperluan negeri ini untuk mempercepatkan serta merapatkan jurang pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara di bawah RMK-12.

“Perbelanjaan ini jelas tidak menggambarkan keperluan Sarawak dengan mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunannya serta statusnya sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib, di sini, hari ini.

“Saya menekankan kepada kedua-dua menteri persekutuan ini bahawa sebagai rakan setaraf, semua perkongsian iaitu hasil harus dibahagi berdasarkan kepada beberapa faktor.

“Merangkumi sumbangan negeri ini kepada kewangan negara termasuk pendapatan yang diterima Kerajaan Persekutuan melalui eksploitasi sumber semula jadi negeri dan hasil yang diterima dari cukai dari Sarawak,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak