Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu ditambah baik – Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 perlu ditambah baik seiring perkembangan semasa agar usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras najis dadah dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata antara penambahbaikan yang dilihat perlu dilakukan ke atas akta itu adalah berkaitan berat dadah yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 39 B ADB dan mengenakan kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) terhadap mereka yang terlibat dalam kesalahan mengedar dadah.

“Mengikut ADB ketika ini, dadah jenis heroin seberat 15 gram (g) manakala bagi methamphetamine sebanyak 50 g diletakkan di bawah Seksyen 39 B yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, tetapi saya melihat ada keperluan untuk berat methamphetamine atau syabu ini dikurangkan kepada 15 g atau lebih rendah.

“Ini kerana methamphetamine atau syabu merupakan rampasan dadah yang paling banyak ketika ini berbanding ketamin, kanabis dan heroin…ketika ADB ini digubal, heroin merupakan dadah paling banyak dibawa masuk. Saya percaya dengan langkah ini kita akan dapat membanteras pengedar-pengedar dadah ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Razarudin berkata cadangan itu telah dikemukakan oleh PDRM kepada Kementerian Dalam Negeri melalui bahagian perundangan dan terdapat beberapa cadangan lagi yang sedang dibincang oleh jawatankuasa dalaman PDRM.

Beliau berkata untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, PDRM merampas 18 tan dadah, meningkat sebanyak 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 10.5 tan.

“Majoriti dadah yang dirampas adalah methamphetamine yang popular dalam kalangan pengguna dadah tempatan,” katanya.

Dadah jenis methamphetamine itu menurut Razarudin juga dieksport ke negara ketiga seperti Australia, New Zealand, Greece, United Kingdom, Indonesia dan Korea.

Beliau berkata faktor harga dan permintaan yang tinggi di negara berkenaan menjadikan sindiket tempatan mengambil peluang mengeksport bahan terlarang itu dengan menggunakan antaranya perkhidmatan kurier dan jalan laut.

“Seperti contoh melalui maklumat yang diperoleh, sekilogram dadah jenis methamphetamine dibeli oleh sindiket tempatan dengan harga RM30,000 daripada sindiket dari segitiga emas boleh dijual dengan harga sehingga AU$200,000 di Australia,” katanya.

Beliau berkata kerjasama erat antara PDRM dengan agensi-agensi antidadah luar negara sedikit sebanyak berjaya mengekang sindiket itu.
Razarudin turut berharap keanggotaan JSJN dapat ditambah seiring dengan peningkatan rampasan dan kes melibatkan dadah yang direkodkan setiap hari.

“Buat masa ini keanggotaan JSJN hanya kira-kira 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota PDRM, dan kami telah membuat permohonan untuk tambahan sebanyak 2,000 anggota,” katanya. — BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak