Anak kahwin campur wajar dapat hak sebagai bumiputera

KUCHING: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (Forum) memohon Kerajaan Sarawak dan Badan Perundangan Negeri untuk meminda atau meluluskan undang-undang sedia ada dengan mengiktiraf kaum yang tidak didefinisikan sebagai bumiputera atau anak negeri.

Presidennya Kennedy Chukpai Ugon berkata, ini bagi membolehkan rakyat Sarawak yang merupakan anak hasil perkahwinan campur mendapat sepenuhnya hak sebagai bumiputera serta memiliki tanah dan berniaga di negeri kelahiran mereka.

“Ini supaya kaum asal yang tidak termasuk dalam definisi bumiputera dapat disertakan dan begitu juga anak-anak yang ibu bapa mereka terdiri daripada salah satu kaum berasal dari Sarawak termasuk dalam definisi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Adun Murun itu, terdapat sebilangan kaum bumiputera yang tidak termasuk dalam definisi anak negeri dalam Ordinan Tafsiran Sarawak, 2005 (Cap 61) termasuk Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Miriek, Narom, Saban, Tatau dan Tring.

“Ini telah membawa banyak masalah seperti mereka kehilangan hak asasi. Walaupun anak-anak mereka mempunyai ibu bapa bumiputera, mereka dilarang berniaga dan memiliki tanah hanya kerana salah seorang ibu bapa bukan bumiputera.

“Ia telah membawa kesedihan dan kehilangan identiti kepada anak-anak ini. Mereka berasa didiskriminasi dan tidak diterima. Justeru itu, ketidakadilan prosedur ini harus diperbetulkan,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan dan menyokong penuh tindakan Kerajaan Sarawak yang mencadangkan pindaan definisi bumiputera di bawah Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri membuat keputusan dalam menentukan kaum mana di negeri ini yang patut diakui sebagai bumiputera.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak