Anggota tentera mengamuk disebabkan masalah rumah tangga

KUCHING: Tindakan seorang anggota tentera mengamuk dan melepaskan beberapa das tembakan yang mencederakan ibu mertuanya, sebelum dia menembak mati diri dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangganya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek yang berusia 28 tahun bertindak sedemikian kerana marah ketika sedang menyelesaikan masalah rumah tangga bersama isterinya.

“Siasatan awal mendapati suspek yang
bertugas sebagai askar telah tiba di lokasi kejadian bagi tujuan penyelesaian masalah
rumah tangga dengan isterinya, yang mana masih dalam proses penceraian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad

“Semasa dalam perbincangan, suspek telah marah dan mengambil senjata jenis M4 yang disimpan dalam keretanya.
“Suspek terus melepaskan beberapa das tembakan di bahagian ruang tamu dan dapur rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari itu di sebuah rumah di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang turut menyebabkan ibu mertua suspek cedera terkena tembakan di bahagian bahu sebelah kiri.

Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata selepas melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah, suspek kemudian pergi ke hadapan rumah dan terus menembak diri di bahagian dagu.

Beliau menambah ketika kejadian, suspek masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 bagi Daerah Bau, dan meminjam kereta kawannya untuk pergi ke rumah keluarga isterinya.

Katanya siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai digesa agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak