Apa punca kes Covid-19 di Sabah meningkat?

KOTA KINABALU: Peningkatan saringan ke atas individu bergejala dan kontak rapat membawa kepada penambahan kes baharu COVID-19 di beberapa daerah di Sabah, yang menyebabkan kes positif di negeri ini meningkat kepada 805 kes semalam.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 201,878 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata peningkatan tertinggi adalah di daerah Ranau apabila 87 kes dilaporkan, diikuti Kota Kinabalu 75 kes, Kota Belud (60 kes), dan Keningau serta Kota Marudu masing-masing 59 kes.

“Bagaimanapun tiada daerah yang mencatatkan tiga angka,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata setakat ini seramai 1,845,411 penduduk Sabah telah menerima dos lengkap vaksin dan daripada jumlah itu, seramai 1,844,507 orang melibatkan 66.9 peratus penduduk dewasa.

“Seramai 278,702 orang atau 65.4 peratus remaja telah menerima satu dos vaksin dan seramai 904 orang telah lengkap dua dos vaksin setakat ini,” katanya. — BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak