Bajet 2022: Kerajaan komited siapkan Lebuhraya Pan Borneo

KUCHING: Bajet 2022 menyaksikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, bagi memastikan usaha merangsang pemulihan ekonomi, kerajaan akan meneruskan projek pembangunan infrastruktur negara berimpak tinggi bernilai RM3.5 bilion antaranya melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Central Spine.

“Oleh itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2022 tersebut yang sudah pasti mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, katanya belanjawan tersebut juga menyaksikan Sabah dan Sarawak antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi iaitu masing-masing berjumlah RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion untuk pelaksanaan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Kerajaan juga akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah dengan menyalurkan sebanyak RM2.5 bilion untuk pelbagai program dan projek penambahbaikkan infrastruktur luar bandar,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak