Balik kampung

BALIK kampung… ohooooo balik kampung… hati riang. Lagu Hari Raya yang tiada perkataan Hari Raya sering berkumandang di radio dan televisyen.

Melalui Facebook dan WhatsApps pula, masing-masing berkongsi lagu ini.

Seolah-olah Hari Raya semakin dekat, sedangkan disambut pada tahun depan.

Inilah keriangan masyarakat yang dapat balik ke kampung setelah lebih seminggu lalu, larangan rentas negeri sudah dimansuhkan.

Tidak perlu mendapatkan permit polis untuk merentas negeri.

Sebelum itu, Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengumumkan larangan rentas daerah dimansuhkan.

Bermakna, kita sudah bebas daripada ‘kurungan’.

Sekarang kita sudah ke mana-mana di seluruh negara.

Cuma untuk memasuki Sarawak, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Tiada lagi permit polis, sebaliknya individu perlu membuat saringan Covid-19 yang sah untuk tiga hari, memohon kemasukan melalui EnterSarawak, bukti sudah lengkap dua dos vaksin, serta dokumen lain yang perlu dikemukakan.

Sementara merentas daerah, kita juga sudah bebas untuk ke mana-mana.

Tiada lagi sekatan jalan raya di sempadan daerah.

Namun demikian, penguatkuasaan pematuhan SOP tetap diteruskan.

Lebih seminggu lalu, individu sudah mula merancang balik ke kampung masing-masing.

Pentadbiran majikan mula menerima banyak borang permohonan cuti.

Sesuai dengan hujung tahun, mereka merebut peluang bercuti di kampung.

Lebih-lebih lagi, semua pelajar mula turun ke sekolah secara bergilir-gilir bermula 1 November. Jadi, ruang setengah bulan ini digunakan untuk melerai rindu dengan ahli keluarga.

Sebabnya, hampir satu tahun tidak balik kampung – kali terakhir kebenaran rentas daerah di Sarawak adalah pada hujung tahun lalu (2020).

Dan hari ini, pergerakan pulang ke kampung pasti rancak.

Akan ada banyak kenderaan melalui Lebuh Raya Pan Borneo. Ini ekoran hari ini dan esok cuti hujung minggu.

Kemudian Selasa depan merupakan cuti umum sempena Maulidur Rasul.

Jadi, ramai yang memohon dan mungkin cuti pada Isnin sudah diluluskan, sebelum turun bekerja semula pada Rabu. Mungkinkah akan ada sambutan Maulidur Rasul pada peringkat kampung minggu ini.

Jika tiada, sudah dua tahun sambutan di peringkat kampung tidak diadakan.

Jika ada pun sambutan, ia hanya dalam skala kecil – melibatkan beberapa individu. Apa-apa pun, masyarakat masih boleh mengikuti sambutan secara maya – satu kelaziman baharu kehidupan zaman moden ini.

Dengan kebenaran pengimarahan masjid dan surau tetapi bersyarat iaitu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, ia tetap dapat diadakan.

Mungkin perarakan tidak digalakkan kerana menyebabkan penghimpunan yang ramai.

Kenderaan banyak berada di jalan raya.

Jadi, kita mesti lebih berhati-hati.

Jangan disebabkan keghairahan balik ke kampung menyebabkan kita kurang memberi perhatian terhadap pemanduan.

Elak menjadi penyumbang jumlah kemalangan, kecederaan dan kematian di negeri. Ingatlah! Masih ada keluarga yang menunggu kepulangan anda.

Mereka pasti tidak mahu menyambut jenazah ahli keluarga.

Sementara itu, pastikan kita betul-betul sihat sebelum bergerak ke kampung.

Jika ada gejala seperti demam dan selesema, lebih baik tangguhkan dulu hasrat untuk balik kampung.

Pastikan Diri Sihat

Seperti nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat terus hidup dengan Covid-19, yang bermakna perlu berada dalam keadaan sihat sebelum balik ka kampung.

Katanya, ini bagi mengelak ahli keluarga di kampung terutama yang sudah berusia dijangkiti virus pembunuh ini.

Ini ada benarnya seperti dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, jangkitan di kampung dan rumah panjang disebabkan virus Covid-19 dibawa dari bandar.

Seseorang individu tidak sedar dia pembawa virus berkenaan, terutama jika tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan, kecuali setelah membuat saringan di klinik atau makmal kesihatan.

Atas sebab itu, sesiapa sahaja yang berhasrat balik kampung dinasihati membuat ujian kendiri menggunakan kit ujian yang boleh didapati kebanyakan farmasi – dijual pada harga RM19.90 satu.

Kerajaan menasihati agar ujian kendiri ini dibuat sebelum memulakan perjalanan ke kampung, bagi memastikan kita tidak dijangkiti Covid-19.

Jika negatif, kita juga yang akan berasa lega dan tidak khuatir berada di kampung.

Kemudian, setelah berada di kampung kita dinasihati terus mengamalkan penjarakan fizikal, tidak bersalaman bagi mengelak jangkitan.

Buat sementara waktu, ikuti segala garis panduan kerana ia akan bersifat sementara sehingga ada ubat khusus untuk jangkitan ini.

Memang benar kita sudah divaksin, tetapi ia bukan alasan kita tidak dijangkiti.

Jika pun dijangkiti, kesan jangkitan tidak seteruk mereka yang enggan atau menolak vaksin atas pelbagai alasan.

Jadi, mereka yang menolak divaksin harus segera menerima suntikan vaksin ini demi kesejahteraan semua.

Lagi pun, sudah lengkap dua dos vaksin adalah syarat untuk merentas negeri.

Ini keistimewaan yang diberikan kepada mereka yang mempunyai sifat tanggungjawab menjaga sesama sendiri dengan mengambil vaksin. Ia bukan untuk mereka yang enggan divaksin.

Begitu juga dengan keistimewaan yang diberikan kepada mereka yang sudah divaksin untuk memasuki pasar raya, dan pelbagai lagi premis.

Bukan untuk mereka yang menolak vaksin. Jadi, ambillah vaksin.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak