Bangladesh teruja bekal pekerja ke Sarawak

KUCHING: Bangladesh bersedia untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di Sarawak dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan dan ini akan dilaksanakan antara kerajaan dengan kerajaan, kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Mohammad Khorshed A Khastagir semalam.

Dalam kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, Mohamad Khorshed berkata Bangladesh akan mematuhi kriteria terkini Malaysia dalam pengambilan pekerja asing iaitu wajib lengkap dua dos vaksinasi COVID-19.

“Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bersedia untuk membantu penghantaran pekerja. Sebagai permulaan kami boleh menghantar 3,000 orang pekerja. Bangladesh juga mempunyai banyak perkara untuk dikongsi bersama Sarawak dalam bidang pertanian,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata Sarawak memerlukan ramai pekerja khususnya dalam sektor kelapa sawit dan menyambut baik kehadiran lebih ramai pekerja untuk membantu proses memetik buah.

Katanya pandemik COVID-19 telah membawa banyak cabaran baharu kepada negeri ini, termasuklah kekurangan pekerja.

“Mengenai tawaran pekerja, saya akan membawa perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya, sambil menambah Sarawak juga menyambut baik pelabur dalam penternakan haiwan dan pertanian tepat moden, ke arah menjadi pengeksport makanan utama dan produk makanan menjelang 2030.

Setiausaha Pertama Kedutaan Bangladesh Fared Ahmed dan Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki turut hadir dalam pertemuan itu. — BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak