Bantu warga emas selepas bersara

KUCHING: Kerajaan Sarawak dalam rangka untuk memperkenalkan skim insurans menggunakan pendekatan terkini supaya sentiasa ada dana untuk menampung kos sara hidup golongan warga emas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak berbincang mengikut modul negara maju apabila hayat hidup rakyatnya semakin panjang serta golongan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

“Sebab itu, saya selaku pemimpin peringkat negeri sedang mengkaji pendekatan terbaik untuk memberi bantuan kebajikan kepada golongan warga emas yang tidak lagi bekerja pada usia 70 tahun atau kehabisan wang simpanan pada umur 80 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Ulang Tahun Ke-10 Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang diraikan secara maya semalam.

Tegas Abang Johari, ia realiti yang harus dihadapi dan sebagai kerajaan bertanggungawab, pihaknya memerlukan pendekatan terbaik kepada golongan sasar termasuk bantuan kewangan.

“Ini juga cabaran masa depan apabila bilangan warga emas semakin bertambah dalam 10 tahun lagi mengikut statistik Jabatan Perangkaan kerana kita mempunyai kemudahan kesihatan yang baik.

“Menurut angka yang saya terima, antara 15 hingga 20 peratus pertambahan warga emas di Sarawak menjelang 2030 apabila menunjukkan lebih ramai orang tua,” jelasnya. Katanya lagi, jika dahulu, ramai warga emas berusia 65 tahun tidak lagi larat berjalan namun kini, warga emas masih ada tenaga dan kekal aktif.

“Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak kini sedang memikirkan bagaimana membantu golongan warga emas terutama dari sudut dana.

“Namun, rakyat jangan risau kerana kami sebagai sebuah kerajaan membuat persediaan untuk sebarang perubahan selepas tahun 2030 hingga 2050 selagi mempunyai polisi yang kukuh,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Abang Johari memberitahu, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peringkat negeri, Kerajaan Sarawak akan mewujudkan taman seperti di Kumuyang, Sibu, Darul Hana dan Sungai Bedaun di Kuching sebagai projek rintis untuk kemudahan kesihatan kepada komuniti.

“Malah, saya turut mencadangkan taman perumahan untuk menyediakan kemudahan yang mesra warga emas serta dilengkapi dengan fasiliti kesihatan.

“Ia boleh dijalankan bukan sahaja pihak kerajaan tapi juga bersama sektor swasta,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak